Thursday, August 6, 2009

PIMPINAN ABIM PUSAT 09-2011

Muktamar ABIM telah sebulat suara memilih Muhamad Razak Idris sebagai presiden. Beliau bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Manakala jawatan timbalan presiden telah disandang oleh Amidi Abdul Manan. Berikut adalah pimpinan ABIM untuk sessi 2009 / 2011

Naib Presiden: Ahmad Saparuddin Yusup

Khairul Faiz Morat

Fadhlina Siddiq

Setiausaha Agung: Muhd Raimi Abd Rahim

Setiausaha Kewangan: P Aizan Tukirin

Penolong Setiausaha Agung: Maria Kamel

Ketua Biro Dakwah: Naim Mohd Noor

Ketua Biro Penerangan: Mohd Hilmi Ramli

Ketua Biro Pembangunan Sosial: Akmal Hisham Abdul Rahim

Ketua Biro Penyelidikan: Fauwaz Hasbullah

Ketua Biro Penataran: Abdul Razak Aripin

Ketua Biro Pendidikan: Dr Haslinda Abdullah

Ketua Biro Ikhtisas: Dr Mohd Mahyudi Bin Yusop

Ketua Biro Tugas-tugas Khas (Kesihatan): Dr Saifullah Al-Hany Abdul Halim

Ketua Biro Tugas-tugas Khas (Latihan): Noryzal Zainal Abidin

Ketua Biro Tugas-Tugas Khas (Perhubungan Antarabangsa) : Jufitri Joha

Ketua Biro Tugas-Tugas Khas (IT dan Perhubungan): Adli Abdul Wahid

Wednesday, August 5, 2009

Salahkah berhimpun?

Oleh: Mohd Hasbie Muda (Artikel dr Malaysian Insider)
OGOS 4 — Sebahagian rakyat Malaysia masih memandang serong pada perhimpunan aman. Kononnya, ia dilihat sebagai budaya rakyat Malaysia yang emosional dan berfikir pendek.
Pada asasnya, saya berpendirian menolak sebarang usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Anarki. Tiada kompromi.Namun, benarkah berhimpun sebagaimana semalam boleh membawa Malaysia ke arah sebuah negara Anarki — negara yang kacau bilau dan tidak berperaturan.
Kononnya, pelabur tidak akan datang, FDI akan jatuh, peluang pekerjaan akan berkurangan dan ekonomi negara akan merudum. (Frasa dan ayat-ayat ini biasa dimomokkan dalam kursus BTN.)
Sejujurnya, saya bukanlah orang yang berminat dengan perhimpunan atau ‘demonstrasi’. Selalu juga disindir oleh teman-teman sewaktu menjadi pimpinan pelajar dulu kerana jarang turun berhimpun atau berdemonstrasi. Walaupun kurang berminat, saya tidak menafikan perlunya berhimpun.
Kita harus jujur dalam membuat penilaian.Salahkah berhimpun? Pendek akalkah orang-orang yang berhimpun sebagaimana prasangka kita?
Benar, kita boleh menyalahkan mereka yang berhimpun jika ia dilakukan terlaku kerap.Setiap bulan misalnya. Tidak dinafikan, kesesakan jalanraya akan berlaku, perniagaan ada yang terpaksa ditutup dan sudah tentu keheningan hujung minggu juga terganggu. Namun mereka berhimpun sekadar dua tiga kali setahun. Besar sangatkah impak kepada aktiviti ekonomi negara jika 2 atau 3 hari daripada 365 hari digunakan oleh segelintir rakyat untuk berhimpun menyatakan sesuatu kepada kerajaan?
Mereka yang berhimpun bukanlah untuk suka-suka atau mahu menghuru-harakan negara. Janganlah disamakan rakyat Malaysia pada masa ini dengan rakyat Malaysia pada 40 tahun lalu dalam Tragedi 1969, ataupun rakyat Singapura/Malaysia yang terlibat dalam Rusuhan Natrah pada 1950.
Rakyat Malaysia pada masa ini sudah ramai berpendidikan tinggi dan cerdik-cerdik. Zaman telah banyak berubah,saya yakin tiada siapa yang tidak sayangkan nyawa. Memang bodoh bagi sesiapa yang berhimpun untuk kehilangan nyawa. Mereka sudah tentu berhimpun kerana bersebab. Jika tidak, lebih baik bersantai di rumah bersama keluarga.
Pengalaman menyertai perhimpunan aman membantah PPSMI dulu cukup mengharukan. Polis terbukti menjadi punca perhimpunan bertukar ganas. Mereka melepaskan gas pemedih mata dengan membabi buta. Apa salahnya dibiarkan peserta berhimpun dan menuju ke Istana Negara? Saya tidak nampak sebarang senjata yang mereka bawa dan aliran trafik pun tidak tersekat walaupun sedikit terganggu.
Namun tindakan polis(FRU) langsung tidak berperikemanusian. Mereka langsung seperti alat kerajaan yang tidak mampu berfikir. Merekalah punca kekasaran fizikal dan gangguan trafik yang parah.
Kebiasaannya, perhimpunan yang dilakukan bukanlah langkah pertama atau usaha awal dalam perjuangkan sesuatu. Ia adalah jalan terakhir. ISA telah dikecam sejak 49 tahun sejak ia digubal pada 1960. Pelbagai wacana akademik, penulisan, disertasi,tesis, memorandum, referandum dan sebagainya yang berkaitan ISA dibuat semata-mata untuk membantah perlaksanaannya di Malaysia. Namun adakah ia berkesan?
Kerajaan masih juga tanpa segan silu menyalahgunakan ISA.
Kita akui bahawa ISA mampu menyelesaikan beberapa ancaman berkaitan keselamatan negara dan kita memang memerlukan akta yang berupaya mencegah ancaman dalaman. Namun, kerajaan Barisan Nasional/Perikatan semenjak 1960 tanpa pernah rasa bersalah telah menggunakan ISA untuk menahan ahli-ahli politik khususnya pembangkang, aktivis masyarakat dan juga orang awam yang tidak berkaitan.
Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Chandra Muzaffar, Halim Arshat, Karpal Singh, Maximus Ongkilli, Teresa Kok adalah antara ahli politik dan aktivis masyarakat yang pernah merengkok. Berbahayakah mereka? Apa ancaman mereka kepada keselamatan negara?
Banyak cadangan yang lebih waras untuk diambil dalam membantah ISA. Namun, akan pedulikah kerajaan?
Kerajaan khabarnya akan mengkaji semula ISA. Ia satu permulaan yang baik jika kerajaan benar-benar ikhlas mahu berubah.
Membantah ISA bukan bermaksud kita tidak mahu akta pencegahan yang mampu menjaga keselamatan dalaman negara kita. Namun, bantahan ini diharapkan agar mampu mendesak kerajaan supaya sekurang-kurangnya meminda peruntukan tertentu yang membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.
Membantah ISA juga bukan bermaksud kita membenci apatah lagi mahu menyusahkan kerajaan. Sebaliknya kita mahu supaya suara insan yang menderita akibat ISA didengari dengan lebih kuat oleh pemimpin kerajaan yang kita kasihi itu.
Kita tidak merasa menderita kerana kita tidak berada di tempat orang-orang yang sedang menderita itu. Cubalah memahami.

Tuesday, August 4, 2009

Sumbangan RM10

Salam.

Sempena 20 tahun penubuhan Ma'ahad Al - Ummah, PERMATA MUC akan menaja satu muka surat penuh iklan berwarna di dalam Al - Hadharah bagi menyatakan penghargaan kepada pihak sekolah. Satu muka surat iklan berwarna berharga RM200.

Sehubungan dengan itu, saya memohon jasa baik Encik / Cik / Tuan / Puan untuk bersama - sama menyumbang bagi penajaan iklan tersebut. PERMATA MUC akan menaja mengikut jumlah sumbangan yang diterima daripada kalian.

Sumbangan boleh dibuat melalui akaun :


14380063397522 (CIMB Bank) - Muhamad Khairul Anwar Bin Mat Azidin



Saya selaku pemegang amanah kutipan ini, akan memaklumkan kepada kalian semua tentang perkembangan kutipan ini dari masa ke semasa.
Tarikh tutup tabung ini telah dilanjutkan kepada 11 Ogos 2009.

Segala sumbangan dari kalian, saya ucapkan jutaan terima kasih.


Mohon disebarkan kepada semua teman - teman PERMATA MUC yang tersenarai di dalam alamat emel kalian.

Terima kasih.

Orang beriman sentiasa inginkan kesempurnaan

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI


Imam Muslim meriwayatkan melalui sahabat Nabi, Abu Hurairah r.a. bahawa ketika turunnya ayat 284 sebelum ini, yang menjelaskan Allah SWT akan melakukan perhitungan terhadap apa yang diperbuat oleh manusia, baik oleh anggota tubuhnya mahupun hati, yang terang-terangan mahupun yang tersembunyi, maka sebahagian sahabat mengeluh kepada Rasulullah SAW.

Mereka berkata: “Kami telah dibebani tugas yang tidak mampu kami pikul.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Apakah kalian akan berucap seperti Bani Israel, Kami mendengar tetapi kami tidak memperkenankan?” Ucapkanlah, “Kami dengar dan kami taati, ampunilah kami, (Wahai Tuhan Kami) dan kepada Engkaulah tempat kembali”.

Allah SWT menyambut permohonan mereka dan turunlah penjelasan atau pembatalan menurut sesetengah tentang apa yang menggusarkan mereka melalui ayat 286 selepas ini, Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

Al-Biqa’i menilai ayat ini sebagai penutup surah al-Baqarah yang sangat serasi dengan pembukaannya. Di sana pada pembukaan, dihuraikan sifat-sifat orang mukmin yang percaya kepada kitab yang tidak mengandungi sedikit keraguan pun.

Maka di sini pun ia tutup dengan pernyataan percaya pada apa yang diturunkan Allah SWT setelah menjelaskan soal nafkah yang juga merupakan huraian awal surah ini, dalam bentuk yang serasi dan berkait rapat dengan tuntutan perintah dan larangan-Nya, serta pengungkapan sifat-sifat terpuji bagi hamba-Nya, terutamanya Rasulullah SAW.

Dari sini dapat dilihat, penutup ayat ini membincangkan tentang keimanan Rasul dan pengikut-pengikut baginda berkaitan kitab yang diturunkan kepada baginda dan kitab-kitab sebelumnya serta seluruh Nabi dan Rasul. Ia turut menghuraikan ucapan-ucapan mereka yang menunjukkan ketaatan dan kekhusyukan mereka.

Dalam ayat ini, seakan-akan ada yang bertanya: “Kini berakhir sudah huraian ayat ini, bagaimana sikap orang-orang yang kitab ini diturunkan kepada mereka?” Jawabnya adalah, firman Allah SWT: Semuanya beriman kepada Allah SWT, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): “Kami tidak membeza-bezakan antara seseorang pun (dengan yang lain) dari Rasul-rasul-Nya.

Al-Sonhaji berkata: “Setiap seorang dari mereka percaya akan adanya Allah SWT mentauhidkan-Nya serta tidak menyekutukan Allah. Percaya akan adanya malaikat, percaya kepada semua kitab yang diturunkan dari langit yang merupakan wahyu, yang masuk meresap ke hati para Rasul itu. Tidak seperti ahli kitab yang percaya kepada setengahnya dan ingkar kepada setengah yang lain”.

Firman Allah SWT: Dan mereka mengatakan: “Kami dengar dan kami taat”.

Al-Maraghi berkata: “Mereka (orang yang beriman) berkata, bahawa Rasulullah SAW telah menyampaikan ajaran kepada mereka lalu mereka dengar ajaran itu dengan penuh perhatian, lalu mereka mentaati perintah dan larangan-Nya dengan penuh rasa penuh ketundukan dan penyerahan. Inilah yang mendorong jiwa untuk melakukan perintah Allah SWT dengan jalan yang sebaik-baiknya, kecuali dalam keadaan dihalang oleh sesuatu yang tidak dapat dielakkan”.

Orang yang beriman dengan ikhlas akan menghitung kekurangan-kekurangan dirinya sendiri selepas wujudnya rintangan-rintangan yang datang kepada mereka. Mereka hanya inginkan kesempurnaan.

Al-Sonhaji berkata: “Mereka bersedia menerima perintah-perintah yang disampaikan oleh para Rasul dan berikrar mentaatinya tidak menderhakainya. Oleh sebab itu bersegeralah mereka mengamalkannya, kecuali jika dalam keadaan kepayahan atau berhalang.

“Namun orang yang hatinya tulus ikhlas, enggan berhenti walaupun kepayahan atau berhalangan tetap bercita-cita akan menyempurnakan amalan secukupnya dan jika tidak dapat, mereka menganggap dirinya cuai”.

Sebab itulah mereka memohon: “Ampunilah kami Ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali”.

Al-Sonhaji berkata: “Allah telah memulai surah al-Baqarah ini dengan menyebutkan, bahawa al-Quran itu jangan diragukan, kerana ada mengandungi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.

Lalu Allah menjelaskan sifat-sifat mereka dengan pokok keimanan yang mereka pegang. Kemudian Allah SWT menyebutkan pula keadaan orang-orang yang kufur dan ragu-ragu.

“Seterusnya dijelaskan pula beberapa hukum-hukum agama seperti solat, zakat, puasa, haji, talak, ila’, haid, jihad dan kisah para Nabi, dan Allah SWT telah menghujah kaum terdahulu yang sesat khasnya kaum yahudi. Maka Allah SWT mengakhiri surah al-Baqarah ini dengan menyebutkan, bahawa pesuruh-Nya iaitu Nabi kita, Muhammad SAW telah beriman dengan apa yang diturunkan-Nya. Begitu pula orang-orang mukmin.

“Kesudahan dari keimanan itu, orang-orang mukmin telah dapat menyucikan jiwa dan hati mereka, tinggi himmah sehingga mencapai puncak ketinggian yang menakjubkan di dunia.

“Misalnya usaha mereka gilang-gemilang, dapat membuka beberapa negeri di dunia ini dengan menggunakan siasatan keadilan dan kebijaksanaan yang tidak dapat dimungkiri sekalipun oleh musuh Islam sendiri.

“Sejarah telah mencatat, bahawa dewasa ini manusia sedang dalam lembah kejahilan dan ditindas pula oleh kerajaan-kerajaan besar yang ada pada masa itu.

Tetapi mereka telah dapat diselamatkan oleh orang-orang mukmin dari dibelenggu perhambaan, terlepas dari penjajahan dan kemudiannya dapat menghirup udara kebebasan yang tidak pernah mereka rasakan sebelumnya. Cukuplah Allah SWT menjadi saksi bagi mereka”