Thursday, May 21, 2009

RENUNGAN DARI SURAH AL-BAQARAH:247

AL-BAQARAH: 247

247. dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. mereka menjawab: "Bagaimana Dia mendapat Kuasa memerintah Kami sedang Kami lebih berhak Dengan Kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan Dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". dan (ingatlah), Allah jualah Yang memberikan Kuasa pemerintahan kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.

Bani Israel ingkar arahan perang
Firman Allah s.w.t.:Apakah kamu tidak memperhatikan pemuka-pemuka Bani Israel sesudah nabi Musa, yaitu ketika mereka berkata kepada seorang nabi mereka: “Angkatlah untuk kami seorang raja supaya kami berperang (di bawah pimpinannya) di jalan Allah”.
Nabi mereka menjawab: “Mungkin sekali jika kamu nanti diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang”. Mereka menjawab: “Mengapa kami tidak mahu berperang di jalan Allah, padahal Sesungguhnya kami telah diusir dari anak-anak kami?” Maka tatkala perang itu diwajibkan atas mereka, merekapun berpaling, kecuali beberapa saja di antara mereka dan Allah Maha mengetahui siapa orang-orang yang zalim.
Nabi mereka mengatakan kepada mereka: “Sesungguhnya Allah telah mengangkat Thalut menjadi rajamu”. Mereka menjawab: “Bagaimana Thalut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang diapun tidak diberi kekayaan yang cukup banyak?” Nabi (mereka) berkata: “Sesungguhnya Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa”. Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 246 – 247)
Al-Maghari berkata: “Selepas Allah menyebut tanda kekuasaan-Nya berkenaan dengan sebelum disyariatkan perang untuk memelihara kebenaran dan membelanjakan harta pada jalan Allah bagi kemuliaan umat sedangkan yang menyeleweng akan kecundang, lantas Allah berfirman.
Firman Allah s.w.t.: Apakah kamu tidak memperhatikan pemuka-pemuka Bani Israel sesudah Nabi Musa, iaitu ketika mereka berkata kepada seorang nabi mereka: “Angkatlah untuk kami seorang raja supaya kami berperang (di bawah pimpinannya) di jalan Allah”. Nabi mereka menjawab: “Mungkin sekali jika kamu nanti diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang”. Mereka menjawab: “Mengapa kami tidak mahu berperang di jalan Allah, padahal sesungguhnya kami telah diusir dari anak-anak kami?”. Maka tatkala perang itu diwajibkan atas mereka, mereka pun berpaling, kecuali beberapa saja di antara mereka, dan Allah Maha mengetahui siapa orang-orang yang zalim.
Al-Nasafi berkata: “Golongan yang mulia kerana mereka memenuhi hati-hati manusia dengan kemuliaan dan mata pandangan manusia dengan kehebatan”.
Sayyid Qutub berkata: “Apakah engkau tidak melihat? Seolah-olah kejadian ini sedang berlaku dan dapat dilihat dengan mata kepala. Para pembesar dan cerdik pandai Bani Israel telah berkumpul dan menemui nabi mereka.
Al-Quran tidak menyebut nama nabi ini kerana nama itu tidak penting di sini, dan menyebut nama itu di sini tidak menambah suatu apa dalam saranan cerita sedangkan Bani Israel mempunyai ramai nabi yang lahir berturut-berturut di dalam sejarah mereka yang panjang itu. Mereka menemui nabi mereka dan menuntut beliau melantik seorang raja bagi mereka agar mereka dapat berperang kerana sabilullah di bawah pimpinannya.
Membulat di jalan Allah
Perbuatan mereka menentukan sifat peperangan itu sebagai peperangan untuk Sabilullah itu membayangkan satu kesedaran keagamaan di hati mereka dan kesedaran keimanan yang tercetus di dalam jiwa mereka. Ia juga membayangkan kesedaran keimanan yang tercetus di dalam jiwa mereka, juga membayangkan kesedaran bahawa mereka adalah penganut agama Allah yang benar dan bahawa musuh mereka berada di atas jalan yang sesat, kafir dan batil. Seterusnya membayangkan betapa terangnya jalan di hadapan mereka untuk bangkit berjihad di jalan Allah.
Jalan perjuangan yang jelas dan tegas itu merupakan separuh jalan menuju kemenangan. Oleh itu setiap mukmin pastilah merasa jelas di dalam hatinya bahawa dia berada di atas jalan yang benar dan musuhnya berada di atas jalan yang batil. Matlamat di dalam hatinya pastilah membulat di jalan Allah. Ia jangan sekali-kali diselubungi kekeliruan hingga membuat ia tidak mengetahui ke mana ia menuju.
Lalu nabi mereka memastikan sejauh mana benarnya keazaman mereka dan sejauh mana kukuhnya niat dan keazaman mereka melaksanakan tanggungjawab yang amat berat itu. Juga sejauh mana kesungguhan mereka menawar perjuangan mereka kepadanya.
Firman Allah: Mungkin sekali jika kamu nanti diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang.
Sayyid Qutub berkata: “Apakah tidak mungkin bahawa kamu enggan berperang jika peperangan itu telah diwajibkan ke atas kamu? Kamu sekarang masih berada dalam keadaan bebas dalam perkara ini, tetapi jika saya mempersetujui permintaan kamu lalu peperangan pun diwajibkan ke atas kamu.
“Maka ini bererti ia telah menjadi satu kewajipan yang difardukan ke atas kamu dan tidak ada jalan lagi untuk kamu mengelakkan diri darinya. Itulah pertanyaan dan mencari kepastian yang layak dengan seorang nabi, kerana perkataan-perkataan dan perintah-perintah para anbia tidak seharusnya diterima dengan ragu-ragu”.
Di sini darjah keghairahan dan semangat ingin berjuang melonjak-lonjak tinggi dan para pemimpin itu terus menyebut sebab-sebab yang mendorong mereka untuk berperang kerana Allah dan ini menjadikan peperangan itu pastilah dilakukan tanpa teragak-agak lagi.
Firman Allah: Mereka menjawab: “Mengapa kami tidak mahu berperang di jalan Allah, padahal Sesungguhnya kami telah diusir daripada anak-anak kami?”
Sayyid Qutub berkata: “Di sini kita dapati perkara ini cukup jelas di dalam perasaan mereka dan tertanam di dalam jiwa mereka bahawa musuh-musuh mereka adalah musuh-musuh Allah dan agama Allah. Mereka telah mengusir musuh-musuh itu dari kampung halaman mereka dan menawan anak-anak mereka. Oleh sebab itulah mereka wajib diperangi. Dan satu-satunya jalan yang ada di hadapan mereka ialah berperang. Oleh itu tidak perlu lagi mereka menyemak keazaman mereka atau tidak perlu lagi kepada apa-apa perdebatan”.
Firman Allah: Sesungguhnya Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa. Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.
As-Sya’rawi berkata: “Mereka yang menuntut daripada Nabi mereka supaya dibangkitkan bagi mereka raja”. Justeru memadai Nabi mereka memilih seorang lelaki dan menabalkan menjadi raja. Akan tetapi Nabi mereka menghendaki dengan menanam kemuliaan pada mereka berkenaan yang dibangkitkan seperti raja mereka.
Tabiat Bani Israel
Sayyid Qutub berkata: “Yakni Thalut itu seorang lelaki yang telah dipilih oleh Allah…..ini satu…..kemudian beliau ditambahkan dengan kelebihan ilmu pengetahuan dan kekuatan jasmani…..ini satu lagi……. kemudian Allah mengurniakan kuasa pemerintahan-Nya kepada sesiapa yang disukai-Nya….jadi hak pemerintahan ini adalah milik-Nya dan Dialah pengurus dan pengendali dan Dialah yang memilih sesiapa yang disukai-Nya di kalangan hamba-Nya. Kemudian Allah itu Maha Luas limpah kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui. Tiada pengawal bagi limpah kurnia-Nya dan tiada batas pemberian-Nya. Dialah yang mengetahui segala yang baik dan mengetahui meletakkan segala sesuatu pada tempatnya yang wajar”.
Inilah hakikat yang sepatutnya boleh membetulkan kefahaman dan pemikiran mereka yang salah dan boleh menghapuskan kekeliruan mereka. Namun tabiat Bani Israel tidak cukup dengan hakikat yang tinggi ini sahaja ketika mereka hendak menghadapi peperangan, malah mereka memerlukan kepada satu mukjizat zahir yang boleh menggerakkan hati mereka dan memulangkannya kepada kepercayaan dan keyakinan.
Al-Sonhaji berkata: “Sekiranya kamu mencela orang yang menjadi raja itu disebabkan ia tidak berbangsa dan tidak berharta, maka setelah ia berpeluang menjadi raja, terbukalah pintu rezekinya yang dikurniakan Allah kepadanya dengan seluas-luasnya. Dan Allah – di samping berkuasa mengkayakan si miskin – tahu pula akan hajat seseorang di dalam perkara mentadbirkan hal ehwal dirinya dan kerajaannya. Tahu perkara-perkara yang telah lalu dan tahu pula perkara-perkara yang akan berlaku”.
Al-Baghawi berkata: “Allahlah yang mempunyai segala keluasan yang boleh memberi dengan kekayaannya dan Maha Mengetahui dengan segala-galanya”.

Iktibar Ayat
* Kisah umat zaman dahulu boleh dijadikan iktibar.
* Allah boleh memilih siapa sahaja yang dikehendaki untuk menjadi raja dan pilihannya berdasarkan keilmuan dan kekuatan jasmani.
* mengisbatkan sifat Allah yang Maha Mengetahui.

No comments: